Tuesday, May 26, 2009

Lawan Tetap lawan - Kayveas

KUANTAN - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas mencabar Senator Datuk T. Murugiah yang diumum Presiden PPP semalam, supaya menubuhkan parti baru jika merasakan dirinya wira kaum India.

"Kalau dia rasa dia kuat dan popular, dia boleh membentuk parti baru dan satukan semua kaum India. Dia perlu lakukannya dan jangan ganggu PPP lagi," cabar Kayveas.


Kayveas mengulas krisis PPP apabila Murugiah dipilih sebagai Presiden baru parti itu pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dihadiri 1,760 perwakilan didakwa mewakili dua pertiga cawangan PPP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.

Sementara itu Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendakwa dipilih sebulat suara sebagai Presiden selepas undi tidak percaya ke atas Kayveas diluluskan sekali gus membawa kepada pelucutan jawatan Presiden yang disandangnya sejak 1993.


"Dulu dia pernah kata parti ini tidak sah dan meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkannya. Tiba-tiba semalam dia dilantik Presiden dan itu adalah sah pula.

"Kita kena check kerana ada yang tidak kena dengan dia. Bagaimana dia boleh jadi Presiden kepada parti yang tidak sah," katanya lagi.


Sambil menyifatkan kemelut dalam PPP itu sebagai 'ribut dalam cawan', Kayveas menafikan tindakan Murugiah itu akan menyebabkan PPP berpecah."Beberapa ahli PPP yang hadir itu adalah daripada kalangan yang kecewa dengan parti," katanya.


Tegasnya, PPP akan meminta lapan daripada ahli parti yang dikenal pasti menghadiri EGM itu mengemukakan surat tunjuk sebab sebelum sebarang tindakan diambil.

"Kita ada merakamkan apa yang berlaku dan setakat ini sekurang-kurangnya lapan ahli PPP dikenal pasti hadir dalam perhimpunan tersebut," jelasnya sambil mendakwa menghantar kira-kira 100 'pengintip' untuk merakamkan apa yang berlaku dalam EGM itu.


Kayveas sekali lagi mengingatkan Murugiah bahawa tempoh rayuan berikutan pemecatannya tamat pada 30 Mei ini."Murugiah sepatutnya berjumpa dengan ROS terlebih dahulu sebelum mengadakan EGM," jelasnya.


Beliau juga menggesa BN mengambil tindakan terhadap Murugiah kerana tindakannya itu boleh merosakkan perpaduan dalam parti."Saya pasti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyedari apa yang berlaku dalam PPP," katanya.



No comments:

Post a Comment