Wednesday, June 24, 2009

Dewan Rakyat Lulus Undang-Undang DNA

KUALA LUMPUR - Langkah untuk mengenal pasti individu yang terlibat dengan kegiatan jenayah akan menjadi lebih pantas berikutan keputusan Dewan Rakyat hari ini yang meluluskan Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 dengan beberapa pindaan.


Antara tujuan utama penggubalan rang undang-undang berkenaan ialah menubuhkan Bank Data Forensik DNA Malaysia yang berfungsi menyimpan profil DNA daripada mana-mana analisis forensik yang dijalankan oleh Jabatan Kimia Malaysia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia dan agensi-agensi lain.


Profil yang akan disimpan melibatkan tempat kejadian jenayah, orang disyaki, pesalah yang disabit oleh mahkamah, orang tahanan, penagih dadah, orang hilang dan individu yang menyerahkan profil DNA secara sukarela.


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa rang undang-undang itu berkata, kerajaan telah mencadangkan pindaan pada Fasal 7 bagi menggantikan perkataan pelantikan 'seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Timbalan Pesuruhjaya Polis' sebagai ketua bank data berkenaan.


''Ia akan digantikan dengan perkataan pelantikan 'seorang pegawai awam yang hendaklah memiliki kelayakan dan pengalaman dalam sains DNA' sebagai ketua," katanya.


Ketika sesi pengundian itu, keadaan menjadi gamat apabila Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) bangun membantah dan secara berseloroh berkata, undi Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) tidak sah kerana beliau memakai bow-tie dan bukannya tali leher seperti kelaziman.

No comments:

Post a Comment