Thursday, June 18, 2009

Lim Paksa Azmi Letak Jawatan

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang mahu Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid mengosongkan jawatannya semasa PAC menjalankan siasatan ke atas kes penyelewengan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).


Kata Lim, Azmi perlu mengosongkan jawatan itu memandangkan timbulnya pertentangan kepentingan beliau sebagai seorang anggota Kabinet dari 2004 hingga 2008.


“Dalam tempoh itu, Kabinet membuat pelbagai keputusan mengenai PKFZ, termasuk meluluskan surat-surat sokongan untuk projek berkenaan.


“Surat-surat sokongan itu bagaimanapun dikeluarkan secara tidak sah di sisi undang-undang oleh dua orang bekas Menteri Pengangkutan iaitu Tun Dr. Ling Liong Sik dan Datuk Seri Chan Kong Choy,” dakwanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.


Sebelumnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul yang dibawa oleh Kit Siang supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat individu yang terbabit dalam penyelewengan Zon PKFZ.


Menurut Pandikar Amin, walaupun isu berkenaan berkepentingan awam, ia bukan sesuatu yang perlu disegerakan.


No comments:

Post a Comment