Titah baginda, ia dicapai dalam semangat memberi dan menerima serta memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili kepentingan pelbagai kaum.''Persetujuan tersebut telah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan juga Raja-raja Melayu.
''Oleh itu, apa juga gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan perkara ini, bukan sahaja melanggar peruntukan asas di dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri malah mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong begitu juga kedaulatan Raja-Raja Melayu," titahnya.
''Pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis iaitu asas-asas yang dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka,'' titah baginda.
Titah Sultan Azlan, penyimpangan daripada semangat asal yang dicapai itu tentunya akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan.
Pada masa sama, titah baginda, asas-asas persetujuan tersebut jangan sama sekali disalahgunakan di peringkat pelaksanaan sehingga ada kaum yang merasakan diri mereka tertindas.
''Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah juga menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap negeri memastikan bahawa kepentingan-kepentingan kaum lain yang sah dari segi undang-undang turut dilindungi," titah baginda.


No comments:
Post a Comment