Friday, June 19, 2009

Sharizat Berminat Dengan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR - Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan menghantar surat esok kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Saleh untuk menjemput beliau bagi memulakan rundingan mengenai kerajaan perpaduan.


Shahrizat melahirkan harapan agar Nuridah menerima jemputan itu dan meletakkan ideologi politik di belakang untuk mengatasi krisis politik yang dihadapi negara ketika ini.


"Wanita ada cara tersendiri untuk menangani isu ini. Saya berharap Ustazah Nuridah akan menerima jemputan saya untuk bertemu dan mengetepikan ideologi politik dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian bagi kemelut politik.


"Walaupun belum tentu kami dapat menyelesaikan kesemua masalah, tetapi kalau dalam tiga hingga empat isu itu pun sudah bagus. Islam harus bersatu dan mesti kekalkan perpaduan yang ada," katanya.


Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata rundingan ini dimulakan atas dasar Muslim ke Muslim sebelum memperluaskan termasuk bukan Islam terutamanya sejak idea ini dimulakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Bagaimanapun, dalam beberapa minit selepas Shahrizat mengadakan persidangan akhbar itu di Parlimen, 10 anggota Parlimen PAS termasuk wanita mengadakan persidangan akhbar dengan mengatakan mereka enggan mengadakan sebarang rundingan perpaduan dengan Umno.


No comments:

Post a Comment