Friday, June 19, 2009

Obama Mula Hilang Taring

WASHINGTON - Populariti Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sudah merosot dan kebanyakan rakyat Amerika menentang usaha beliau untuk menutup kem penjara Teluk Guantanamo dan campur tangan beliau untuk menyelamatkan General Motors, menurut satu kaji selidik terbaru semalam.


Hampir lima bulan selepas Obama memasuki White House, tinjauan pendapat umum Wall Street Journal/NBC semalam mendapati 52 peratus rakyat Amerika menentang penutupan kem Guantanamo manakala 39 peratus lagi menyokong.


Sebanyak 56 peratus responden pula menegaskan, mereka menentang campur tangan kewangan Washington untuk menyelamatkan syarikat pengeluar kereta AS yang bermasalah itu, berbanding hanya 35 peratus yang menyokongnya. Sejumlah 69 peratus responden melahirkan kebimbangan mengenai campur tangan kerajaan itu.


Kira-kira 48 peratus menyokong keputusan Obama mengharamkan kaedah soal siasat yang dilihat sebagai penyeksaan, termasuk waterboarding, manakala 41 peratus menentang keputusan tersebut.


Sokongan terhadap Obama telah menyusut kepada 56 peratus daripada 61 peratus pada April lalu, menurut tinjauan tersebut.

Tinjauan itu juga mendapati hanya 37 peratus rakyat Amerika yang menganggap Obama telah cuba menyelesaikan terlalu banyak isu, manakala 60 peratus berpendapat usaha beliau mencakupi banyak perkara kerana negara ini berdepan dengan banyak masalah mendesak.


No comments:

Post a Comment