Saturday, June 27, 2009

Perang Jawatan MIC Sudah Bermula

PUTRAJAYA - Timbalan presiden MIC, Datuk G. Palanivel membidas bekas timbalan presiden parti itu Datuk S. Subramaniam yang melabel beliau hanya berupa bayang-bayang dengan berkata Subramaniam perlu membuktikan pula kejayaan yang dilakukannya semasa memegang jawatan itu.

"Beliau (Subramaniam) menggelar saya sebagai bayang apabila saya memegang jawatan timbalan presiden, baru hanya tiga tahun. Apa pula yang beliau lakukan apabila memegang jawatan timbalan presiden sejak 1981, lebih daripada dua dekad.

"Beliau tidak pun mempunyai keberanian seperti Datuk M. Muthupalaniappan yang mahu mencabar jawatan presiden," kata Palanivel dalam satu kenyataan Sabtu.

Subramaniam ditewaskan oleh Palanivel untuk merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan tahun 2006, selepas Samy Vellu secara terbuka menyokong Palanivel.

Selain daripada Subramaniam, seorang lagi calon yang dikatakan berminat untuk merebut jawatan timbalan presiden ialah Datuk S. Sothinathan yang kini menyandang jawatan naib presiden.

"Dengan menyifatkan saya sebagai hanya bayang, adakah beliau (Subramaniam) menganggap diri beliau sebagai bukan bayang. Jika tidak, mengapa beliau tidak bertanding merebut jawatan presiden pada pemilihan presiden Mac ini," kata Palanivel.

"Inilah apa yang berlaku semasa pemilihan jawatan timbalan presiden pada 2006 di mana bayang-bayang seperti saya mampu menewaskan beliau apabila penyokong presiden menolak beliau (Subramaniam).

"Saya mempunyai perjalanan yang baik selama dua dekad dalam MIC dan telah menggunakannya untuk memahami dan berhubung rapat dengan akar umbi menerusi pelbagai program yang melibatkan mereka yang kurang bernasib baik di kalangan masyarakat India.

"Kedudukan saya hingga menjadi salah orang pemimpin tertinggi MIC bukan diberi tetapi sesuatu yang saya capai hasil kerja kuat saya. Kejayaan saya hari ini merupakan hasil sokongan akar umbi di samping sokongan presiden parti," kata Palanivel.

No comments:

Post a Comment