Wednesday, June 17, 2009

Eurocopter Peroleh Sijil Penerimaan Daripada DCA

KUALA LUMPUR- Eurocopter yang menjadi isu hangat di Dewan Rakyat sebelum ini iaitu model EC225 , iaitu pesawat seberat 11-metrik tonne yang dibangunkan untuk pengangkutan penumpang, baru-baru ini telah memperolehi pensijilan penerimaan dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, syarikat itu berkata yang EC225 kini boleh beroperasi di Malaysia di bawah pendaftaran Malaysia serta memulakan operasi komersialnya.

"Beberapa pelanggan utama luar pesisir boleh mengendalikan helikopter ini menjelang pertengahan tahun ini," kata Eurocopter Malaysia.

Pesawat EC225 dimajukan sebagai pengangkutan penumpang, terutamanya luar pesisir dan misi VIP, atau misi perkhidmatan awam seperti kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Ia berkata DCA telah melawat Marignane, ibu pejabat Eurocopter di Perancis pada September 2008 bagi mengendalikan proses pensijilan penerimaan yang pertama untuk EC 225.

Pensijilan tempatan EC225 oleh DCA Malaysia membuktikan lembaran baru -- iaitu sebuah helikopter Eurocopter yang betul-betul baru telah diberi pensijilan di Malaysia, kata syarikat itu.

Pada Februari lepas, syarikat telah memilih Malaysia sebagai Hab Simulator EC225/EC725 serantaunya untuk rantau ini dan simulator ini dijangka siap pada 2011, katanya.

Syarikat itu berkata yang EC 225 ialah versi awam kepada EC 725, sebuah lagi helikopter militari 11-tonne yang telah memenangi tender bagi penggantian rangkaian helikopter Nuri tahun lepas.

Hari ini, Eurocopter menguasai 50 peratus daripada pasaran helikopter awam dan 38 peratus pasaran helikopter militari di Malaysia.

No comments:

Post a Comment