Friday, June 26, 2009

Bekas ADUN Dan SAPP Setuju Tanding Semula

KOTA KINABALU - Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua Anggota Parlimen daripada Parti Maju Sabah (SAPP) menyuarakan kesediaan untuk menyahut cabaran Naib Presiden baru parti Gerakan Datuk Raymond Tan supaya bertanding semula kerusi di kawasan masing-masing menggunakan lambang SAPP.

Mereka adalah Adun kawasan Likas Datuk Liew Teck Chan, Melanie Chia Chui Ket (Luyang) dan Anggota Parlimen masing-masing bagi Sepanggar dan Tawau, Datuk Eric Majimbun serta Datuk Chua Soon Bui.

Bagaimanapun, mereka berkata memandangkan Tan mendakwa mempunyai nilai moral yang tinggi, SAPP membalas semula cabaran itu kepada beliau dan rakannya dalam parti Gerakan Au Kam Wah, yang juga Adun Elopura, supaya mengosongkan kerusi mereka dan bertanding semula di bawah panji-panji BN-Gerakan.

"Ini disebabkan mereka telah pun beralih parti selepas memenangi kerusi yang disandang oleh SAPP sejak 1994. Jika bukan kerana SAPP, mereka tidak akan menjadi calon dalam pilihan raya sebelum ini.

"Kalaulah bukan kerana usaha anggota dan penyokong parti, mereka tidak akan menjadi YB , menyandang jawatan tinggi dan menguntungkan dalam kerajaan hari ini.

"Raymond Tan dan Au Kam Wah tidak pernah menjadi anggota BN kerana tidak ada peruntukan bagi anggota individu dalam BN. Mereka adalah anggota SAPP yang menggunakan jentera dan anggota SAPP untuk memenangi pilihan raya," dakwa mereka.

SAPP juga mahukan pengosongan kerusi dilakukan secara serentak oleh Tan (Tanjong Papat) dan Au (Elopura) bersama-sama Adun daripada SAPP iaitu Liew (Likas), Chia (Luyang) dan Eric iaitu Anggota Parlimen Sepanggar serta Chua (Tawau).

No comments:

Post a Comment