Tuesday, June 30, 2009

Umno Enggan Sahut Cabaran Nik Abdul Aziz

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata soal masa depan umat Islam dan negara tidak boleh diselesaikan melalui forum perdebatan seperti yang dicadangkan oleh Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Beliau yang tidak nampak faedah yang akan diperolehi melalui debat itu berkata jalan terbaik ialah melalui musyawarah dan perbincangan secara ikhlas dan bukan melalui perdebatan.


"Itulah cara dan kaedah yang terbaik. Tapi sebelum kita boleh berbincang, janganlah kita mengutuk pihak lain. "Jika kita dah hina dan kutuk pihak lain bererti orang kita ini tak nak cari kata sepakat. Kesepakatan ini sangat penting untuk masa depan umat Islam dan negara," kata Najib.


Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pula menasihatkan Pas dan Umno menyelesaikan kemelut antara parti itu melalui perbincangan kerana pendekatan berdebat tidak akan menyelesaikan masalah utama yang dihadapi masyarakat Melayu dan Islam.


Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula berkata perdebatan itu hanya membuang masa kerana kedua-dua pihak tidak akan mencapai persefahaman disebabkan ideologi yang berbeza.


Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan pelawaan Mursyidul Am Pas itu sebagai membuang masa dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tidak masuk akal untuk menyahut cabaran Menteri Besar Kelantan itu kerana ia tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada Umno dan rakyat.


No comments:

Post a Comment