Thursday, July 9, 2009

Mahkamah Persekutuan Benarkan Nizar Teruskan Saman

PUTRAJAYA - Perebutan bagi jawatan Menteri Besar Perak bakal berlarutan di Mahkamah Persekutuan di sini selepas mahkamah tertinggi itu memberikan kebenaran kepada Menteri Besar 1, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merayu terhadap pengisytiharan Mahkamah Rayuan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir adalah menteri besar yang sah.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, memberikan kebenaran itu selepas responden, Dr Zambry, dan pencelah Tan Sri Abdul Ghani Patail tiada bantahan terhadap permohonan itu.

Bagaimanapun, panel tiga hakim itu menolak permohonan Nizar bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 22 Mei lepas."Ini adalah keputusan sebulat suara, permohonan bagi penangguhan ditolak. Bagaimanapun, kami akan mengambil langkah untuk mendengar rayuan ini secepat mungkin," kata Alauddin.

Ambiga kemudian mengemukakan tiga persoalan untuk pertimbangan mahkamah tertinggi itu:

1. sama ada di bawah Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, jawatan Menteri Besar Perak kemungkinan atau telah dikosongkan,

2. sama ada Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, penentuan isu kepercayaan ke atas Menteri Besar Perak telah dibuat oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Perak mengenai resolusi kepercayaan atau sebaliknya,

3. sekiranya Menteri Besar enggan meletakkan jawatannya, sama ada mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, seorang Menteri Besar mungkin dipecat daripada pejabat atau jawatan Menteri Besar dianggap kosong atau telah dikosongkan.

Ambiga kemudian meminta mahkamah bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan.

"Setelah responden (Zambry) dilantik pada 6 Feb, 2009 sehingga keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei, 2009, dalam masa tiga bulan, responden dan kerajaan Barisan Nasional telah mengambil tindakan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat Perak," kata Ambiga sambil membaca afidavit yang diikrarkan oleh Nizar.

Antara tindakan tersebut ialah:

* Responden telah gagal atau enggan melaksanakan program-program kebajikan yang telah diluluskan dalam pembentangan bajet 2009 di Dewan Undangan Negeri seperti tabung kifalah, tabung khas kebajikan rakyat, peningkatan kadar bantuan bulanan kepada keluarga miskin dan tabung pinjaman perniagaan kecil.
* Menamatkan perkhidmatan ketua-ketua kampung seluruh Perak dan membubarkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung
* Menukar senarai dan menamatkan perkhidmatan ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan
* Melengahkan projek perkhidmatan bas bersepadu Ipoh Sentral
* Melelong kereta Camry yang digunakan sebagai kenderaan rasmi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

No comments:

Post a Comment