Saturday, July 4, 2009

Kes Liwat Anwar Ditangguh buat Kali Ketiga

KUALA LUMPUR - Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dibekalkan dengan dokumen berkaitan tuduhan kes liwat yang dihadapinya terpaksa ditangguhkan sekali lagi apabila peguamnya Sulaiman Abdullah mengadu tidak sihat.

Beliau yang mengetuai barisan pembelaan meminta penangguhan daripada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan rawatan perubatan kerana mungkin kepenatan selepas mengendalikan kes rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan sejak Isnin lalu.


Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan penangguhan tersebut dan menetapkan 8 Julai untuk mahkamah mendengar permohonan tersebut.


Pada tarikh itu, selain mendengar permohonan mendapatkan dokumen berkaitan, Hakim Mohamad Zabidin juga dijadual mendengar permohonan Anwar untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya.


Ini merupakan kali ketiga permohonan tersebut ditunda. Permohonan itu sepatutnya didengar pada 22 Jun lalu tetapi dipinda ke 1 Julai lepas sebelum ditukar ke hari ini setelah Mahkamah Rayuan yang ketika itu mendengar rayuan Anwar membenarkan penangguhan prosiding di Mahkamah Tinggi atas permintaan pihak pembelaan.


No comments:

Post a Comment