Monday, July 13, 2009

Penganalisis Jangka BN Mungkin Buat Kejutan

KUALA KRAI - Kurang 24 jam, lebih 12,000 pengundi di Manik Urai akan menentukan wakil rakyat dan parti pilihan mereka Selasa ini selepas berada di bawah PAS.

Kalau sebelum penamaan calon, PAS mendahului dengan 60 peratus sokongan manakala 40 peratus pengundi memihak kepada Barisan Nasional (BN), namun jurang itu kini semakin rapat sehinggakan ada yang berpendapat BN boleh menggugat kedudukan PAS.

Ini kerana beberapa kawasan kubu kuat PAS misalnya di Chuchoh Puteri, Sungai Sok dan Lata Rek kini boleh dimasuki jentera BN. Perkara itu adalah mustahil sebelum ini.

Pemerhati politik melihat keadaan itu sebagai pengukur kepada kematangan politik pengundi selain tiada isu tempatan yang mendesak dibangkitkan kecuali kedua-dua pihak cuba memainkan isu yang dekat dengan pemikiran "Melayu Pantai Timur".

PAS masih bersandar pada isu Islam dan dakwaan kerajaan persekutuan menganaktiri rakyat negeri itu melalui tuntutan royalti minyak, manakala BN pula berjanji untuk membawa pembangunan dan menjadikan kawasan itu "anak emas" kerajaan persekutuan.

Sentimen pengundi pula dikatakan tidak "sehebat" ketika pilihan raya kecil Bukit Gantang sebelum ini yang "panas" dengan isu krisis perlembagaan selain demografi pengundinya yang berbilang bangsa.

Dr Hatta Ramli mengakui persaingan sengit di Chuchoh Puteri, Laloh dan Manik Urai Lama, kawasan yang dipercayai mempunyai pengundi di atas pagar.

Di atas kertas PAS hanya mempunyai kira-kira 700 ahli di Manik Urai dengan Umno mempunyai lebih 4,000 ahli, namun angka itu tidak menjanjikan laluan mudah buat calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, bekas pegawai Kesedar.

Persoalannya, mampukan kejutan PAS itu mengekalkan "status quo" di Manik Urai, 14 Julai ini, atau pengundi membuat pilihan sebaliknya selepas menjadi saksi kepada apa dilakukan parti itu yang memerintah Kelantan, sejak 19 tahun lepas.

No comments:

Post a Comment