Wednesday, July 15, 2009

Muhyiddin Tidak Kecewa Walaupun Kalah

Johor Bahru - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) tidak perlu berasa kecewa dengan keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai.

Beliau berkata walaupun tewas, keputusan pilihan raya kecil itu menunjukkan sudah ada peningkatan sokongan yang agak jelas terhadap BN.

"Saya percaya ini petanda bahawa rakyat sudah faham menilai kepimpinan Perdana Menteri dan langkah-langkah yang diambil untuk membawa pembaharuan dalam negara," katanya malam tadi.

Muhyiddin berkata keputusan itu akan mendorong beliau dan rakan-rakan dalam BN untuk bekerja lebih keras bagi memastikan angin perubahan terus berlaku pada masa depan.

Beliau seterusnya mengucapkan tahniah kepada PAS di atas kemenangan mereka, selain turut mengucapkan terima kasih pada Pengarah Pilihan raya BN Kelantan Datuk Mustapa Mohamed dan seluruh jentera BN yang bekerja kuat bagi memastikan kemenangan BN.

Keputusan pilihan raya kecil DUN Manik Urai memihak kepada PAS yang meraih 5,348 undi berbanding BN 5,283, menjadikan majoriti hanya 65 undi, iaitu perbezaan cuma 0.61 peratus.

No comments:

Post a Comment