Monday, July 6, 2009

NUBE Bawa EON Bank Ke Mahkamah

KUALA LUMPUR - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) sudah menfail aduan mengenai ketidakpatuhan terhadap perjanjian bersama oleh pengurusan EON Bank Berhad kepada Mahkamah Perusahaan, kata Setiausaha Agung kesatuan itu J. Solomon.

Beliau berkata lebih 2,000 pekerja EON Bank tidak menerima elaun makan dan kerja lebih masa yang penuh disebabkan ketidakpatuhan terhadap perjanjian bersama oleh pengurusan bank itu.

"Secara purata setiap pekerja ini akan kehilangan antara RM200 dan RM300," katanya lagi. Dakwanya di bawah klausa 40 perjanjian bersama itu, berkuatkuasa dari 1 Januari 2006 hingga 31 Ogos 2008, para pekerja itu berhak terhadap elaun-elaun berkenaan dikira dari tarikh 1 Januari 2006.

Menurutnya bank itu bagaimanapun memutuskan untuk mengira bayaran-bayaran itu dari tarikh 21 Jun 2008, iaitu tarikh di mana perjanjian ditandatangani, sekaligus dengan jelas ia tidak mematuhi perjanjian itu.

Merujuk kepada satu lagi pertelingkahan antara Nube dan bank itu yang berkaitan pemindahan anggotanya dari cawangan Melaka ke cawangan Johor Baharu, Solomon berkata pemindahan pekerja itu sudah ditangguhkan.


No comments:

Post a Comment