Wednesday, July 15, 2009

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo Dihukum 1 Tahun

SHAH ALAM - Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada hari Rabu menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo selama setahun manakala empat lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) digantung selama enam bulan.

Kesemua keistimewaan mereka sebagai wakil rakyat juga ditarik balik sepanjang tempoh penggantungan itu.

Timbalan Speaker, Haniza Mohd Talha mengumumkan perkara itu setelah usul mengenainya diluluskan pada kira-kira pukul 3.05 petang selepas perbahasan oleh beberapa penyokong kerajaan iaitu Ng Suee Lim (Sekinchan); Shuhaimi Shafeie (Seri Muda); Amiruddin Shaari (Batu Caves); Hannah Yeoh (Subang Jaya) and Lee Kim Sin (Kajang).

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota DUN Sungai Panjang, digantung kerana gagal hadir sidang pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) pada Mac lepas berhubung pengunaan wang penajaan oleh Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIS) dan didakwa mengeluarkan kenyataan menghina jawatankuasa itu dalam media.

Empat Adun BN yang turut digantung Datuk Warno Dogol (Sabak Bernam), Datuk Mohd Idris Abu Bakar (Hulu Bernam), Mohd Isa Abu Kasim (Batang Kali) dan Datuk Marsum Paing (Dengkil) kerana kesalahan menghina SELCAT dalam media.

Usul itu mencadangkan kemudahan elaun dan faedah sebagai anggota DUN yang diterima Dr Mohamad Khir dan empat wakil rakyat BN ditarik balik sepanjang tempoh penggantungan.

Terdahulu, kesemua 20 wakil rakyat pembangkang daripada BN diketuai Dr Mohamad Khir keluar dewan sebagai tanda bantahan terhadap usul berkenaan.

No comments:

Post a Comment