Monday, July 6, 2009

MCA Pula Membidas DAP Di Pulau Pinang

BUTTERWORTH - Wanita MCA negeri membidas sikap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mementingkan diri dengan berpindah ke rumah banglo bagi masalah remeh seperti anai-anai dan semut merah tetapi “lepas tangan” terhadap isu 23 keluarga di Kampung Buah Pala yang bakal kehilangan tempat tinggal.


Ketuanya, Tan Cheng Liang berkata, Guan Eng lebih mengutamakan dirinya berbanding rakyat yang diwakilinya dan tindakannya yang gemar menyalahkan kerajaan terdahulu adalah sikap yang tidak baik.


“Saya rasa kecewa apabila isu anai-anai merosakkan kediaman rasmi dianggap jauh lebih penting daripada isu penduduk Kampung Buah Pala yang akan kehilangan tempat tinggal.


“Saya juga hairan kerana setelah menerajui Pulau Pinang untuk tempoh satu tahun tiga bulan, mentalitinya masih sama seperti seorang pembangkang dan bukan sebagai pentadbir kerajaan negeri,” katanya lagi.


Beliau juga kesal dengan tabiat Guan Eng yang gemar menolak semua masalah yang tidak boleh diselesaikannya kepada kerajaan Persekutuan dengan alasan masalah itu berpunca daripada kesilapan dan kegagalan Barisan Nasional (BN).