Wednesday, July 15, 2009

Xavier Tegur Cadangan Azmin Rombak Exco

SHAH ALAM - Cadangan rombakan barisan Exco kerajaan negeri Selangor akan terus diutarakan biarpun tidak dipersetujui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


ADUN Seri Muda, Suhaimi Shafie berkata, majoriti ahli Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor menyokong cadangan tersebut.


Namun Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr. Xavier A. Jayakumar pula menolak cadangan itu dan berpendapat ia sepatutnya dibincangkan pada mesyuarat peringkat dalaman.


ADUN Meru, Dr. Abdul Rani Osman yang turut bersetuju dengan cadangan Azmin berkata, rombakan yang dicadangkan bukan merujuk kepada perubahan jawatan sahaja tetapi mungkin juga rombakan 'jiwa' para Exco.

''Sebenarnya apa yang dilakukan Azmin ada betulnya untuk kebaikan pentadbiran kerana sekarang ini memang ada masalah dalam pentadbiran. Ini merupakan satu mesej kepada barisan Exco agar memperbaiki kelemahan mereka,'' ujarnya.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Rodziah Ismail pula berkata, beliau yakin jika cadangan itu ada asasnya dan boleh membawa kebaikan kepada kerajaan negeri, pasti Menteri Besar akan mempertimbangkannya.


''Kita boleh terima semua cadangan termasuk yang dilontarkan Azmin. Tetapi untuk rombakan Exco ini biarlah Menteri Besar yang tentukan kerana itu di bawah kuasa beliau,'' katanya.


Beliau juga menyifatkan Azmin membawa budaya baru dan ia tidak salah kerana kedudukan Exco bukan istimewa sehingga tidak boleh ditegur.


No comments:

Post a Comment