BUTTERWORTH - Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP), sebuah parti politik yang baru ditubuhkan dan berdaftar pada 11 Mei lalu mendakwa antara 50,000 hingga 60,000 kaum India di negara ini tidak mempunyai sijil kerakyatan sebagai warganegara Malaysia.
Menurut Presidennya, R.S. Thanenthiran, masalah itu timbul kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumentasi seperti sijil kelahiran.
''Inilah masalah yang akan kita kemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kira-kira tiga bulan lalu, kita telah menghantar satu memorandum memohon untuk berjumpa dengan beliau.
''Selain itu, kita juga menunggu kebenaran untuk bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan isu kaum India di Malaysia yang tidak mempunyai kerakyatan,'' katanya .
Beliau berkata, masalah itu telah lama berlarutan dan ada di antara mereka yang telah pun meninggal dunia tanpa diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.
Jelasnya, MMSP tidak ada kaitan langsung dengan Hindraf serta menolak sebarang bentuk keganasan melampau dan menyalahi undang-undang termasuk demonstrasi jalanan yang menakutkan rakyat Malaysia.
''MMSP adalah sebuah parti yang sah dan nombor pendaftaran, 0892. Jadi sebagai sebuah parti politik yang berkecuali MMSP tidak keberatan untuk bekerjasama dengan semua pihak.
''Ketika kita mohon kepada kerajaan untuk membenarkan MMSP didaftarkan sebagai satu parti politik dalam negara tujuan kita adalah untuk menyediakan satu platform bagi menerajui perjuangan rakyat dan membela nasib kaum India,'' katanya.
Sehubungan itu, katanya, MMSP kini sedang berusaha mengedarkan borang keahlian bagi menyertai parti tersebut.


No comments:
Post a Comment