Monday, June 8, 2009

Ibrahim Ali Berbaik Semula Dengan PAS

KUALA LUMPUR - Sejak kebelakangan ini Datuk Ibrahim Ali mula membidas parti-parti yang mempertikaikan Umno dengan harapan diterima kembali ke parti itu. Beliau faham bahawa Pakatan Rakyat terutama PAS dan PKR tidak akan menerimanya lagi. Namun beliau paham di Kelantan Umno bukan parti kuat dan Umno kini makin goyah.


Beliau berkata semalam, walaupun berbeza fahaman politik tetapi dalam soal-soal tertentu orang Melayu masih boleh bersatu seperti yang ditunjukkan Pemuda Pas dalam meluluskan resolusi menggesa 30 peratus ekuiti bumiputera dikekalkan.

''Saya ucap tahniah kepada Pemuda Pas kerana meluluskan resolusi berkenaan. Ia menunjukkan mereka sedar apa yang penting untuk memelihara kepentingan orang Melayu.


''Walaupun berbeza dengan pandangan rakan kongsi Pas yang lain, namun sebagai Melayu, mereka kena tegas dalam hal kepentingan bangsa kerana mereka juga Melayu sama macam UMNO,'' katanya .


Pemuda Pas yang pada muktamar parti itu kelmarin meluluskan lima resolusi dengan satu daripadanya ialah menggesa kerajaan mengekalkan dasar 30 peratus ekuiti untuk golongan bumiputera.


Bagaimanapun, MCA dalam reaksi segera mereka membidas resolusi berkenaan sambil menyifatkan resolusi itu sebagai tidak membantu memajukan negara sebaliknya hanya bersifat jangka pendek.


''Jangan hanya data untuk bilangan profesional saja. Dengan itu kalau ada kaum yang masih jauh ketinggalan maka atas semangat Satu Malaysia kita buat penyesuaian balik untuk mengimbangkan penglibatan kaum dalam ekonomi negara.


''Kalau Melayu lebih, maka buat penyesuaian balik. Tapi dalam hal ini kita tahulah siapa yang lebih hingga tahap monopoli. Patut buat penyesuaian balik ekonomi kalau kita nak agihkan kekayaan negara secara seimbang," jelasnya.


''Jadi apabila Pemuda Pas buat resolusi supaya dikekalkan kuota 30 peratus maka ia melegakan Melayu walaupun pada masa sama mungkin ada tujuan politik di sebalik resolusi itu termasuk mahu menunjukkan Pas sebagai alternatif UMNO sebagai parti Melayu,'' jelasnya.


Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, resolusi Pemuda Pas itu dilihat sebagai satu perkembangan yang cukup menggembirakan umat Melayu.



No comments:

Post a Comment