Tuesday, June 2, 2009

Gerakan Beri Surat Tunjuk Sebab

KUALA LUMPUR - Gerakan akan memberi surat tunjuk sebab kepada naib presidennya Huan Cheng Guan berikutan kenyataan beliau yang mengkritik kepimpinan parti itu.

Setiausaha agung Gerakan Teng Chang Yeow berkata Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu yang bermesyuarat malam tadi memandang serius tindakan Huan itu dan membuat keputusan akan memberi surat tunjuk sebab kepadanya.

"Walaupun menghormati hak Huan untuk melahirkan pendapatnya, CWC menganggap kenyataannya baru-baru ini khususnya yang mencemuh parti melalui akhbar, adalah keterlaluan dan telah mencemar imej parti.

"Tindakannya itu mencetuskan perbalahan dan perpecahan dalam parti yang tidak boleh diterima oleh CWC," kata Teng . Beliau juga berkata parti itu belum menerima sebarang notis daripada Huan mengenai peletakan jawatannya.

Perlembagaan Gerakan mensyaratkan seseorang anggota yang ingin melepaskan jawatan perlu memberi notis 30 hari secara bertulis kepada setiausaha cawangannya dan menghantar satu salinan notis berkenaan kepada CWC melalui setiausaha agung.

"Oleh itu, CWC membuat keputusan bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadapnya, sejajar dengan perlembagaan parti," kata Teng.

No comments:

Post a Comment