Monday, June 1, 2009

Muak Punca Ramai Tidak Mengundi

BUKIT MERTAJAM - Walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti hari ini, namun kemenangan itu tidak membayangkan penerimaan penuh masyarakat kawasan berkenaan berdasarkan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian berkata mereka yang tidak keluar mengundi terutamanya pengundi atas pagar mungkin berasa muak setelah melalui tiga pilihan raya sejak Mac tahun lepas.

"Yang keluar mengundi hari ini memang penyokong setia pembangkang, manakala penyokong BN dan pengundi atas pagar tidak keluar mengundi kerana mungkin rasa muak dengan pilihan raya yang terlalu kerap," katanya .

Katanya perbezaan jumlah undi yang diterima oleh Mansor dan penyandang kerusi itu, Mohammad Fairus Khairuddin yang tidak besar iaitu 1,264 undi juga menggambarkan penyokong PKR sendiri sudah merasa yakin kemenangan akan berpihak kepada parti itu, menyebabkan mereka tidak keluar mengundi.

Peratus pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka merosot dengan ketara, daripada 12,657 orang atau 82.08 peratus pada Mac 2008 kepada hanya 7,100 atau 46.15 peratus hari ini.

No comments:

Post a Comment