KOTA BHARU - Pas akan mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai seminggu sebelum penamaan calon, 6 Julai ini.Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pihaknya telah menyenarai pendek bakal calon bagi pilihan raya kecil kawasan tersebut dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk diumumkan. Beliau berkata, calon-calon itu disenaraikan hasil maklum balas semua pihak terutama akar umbi yang akan mengundi di DUN Manek Urai.
''Calon sudah ada tetapi tidak boleh bagi tahu lagi, seminggu sebelum penamaan calon kita akan umumkan,'' katanya lagi. Beliau berkata demikian ketika mengulas persediaan parti itu untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan empat nama disebut-sebut sebagai bakal calon pada pilihan raya kecil tersebut. Mendahului senarai tersebut ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Zulkifli Yaacob yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Kelantan.


No comments:
Post a Comment