Friday, June 5, 2009

Kenyataan Media Fariz Musa

Angkatan Muda Keadilan ( AMK ) Negeri Terengganu benar-benar kecewa dengan sikap Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu terus diam membisu tanpa sebarang reaksi terhadap tragedi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh pada 2 Jun 2009 yang lalu . Bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku .

Sedangkan insiden ini merupakan satu peristiwa yang memalukan negeri Terengganu dan negara . Stadium yang baru berumur setahun telah runtuh hampir 60% dan setakat ini kerugian awal berjumlah RM25 juta sepertimana yang dinyatakan oleh MB Terengganu , YAB Datuk Ahmad Said . Stadium tersebut yang mempunyai Sijil Layak Menduduki ( CF ) sedangkan sehingga sekarang pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) belum menerima laporan siap kerja daripada pihak kontraktor dan stadium tersebut beroperasi tanpa Sijil Siap Kerja oleh JKR .

Sedarkah Pemuda UMNO Terengganu bahawa tindakan tersebut mempertaruhkan nyawa rakyat Terengganu ! Bayangkan jika insiden tersebut berlaku sewaktu rakyat Terengganu terutama anak-anak muda Terengganu sedang leka menyaksikan pertandingan Bola Sepak Liga Super . Sudah pasti sekarang ini kita masih sibuk mengeluarkan mayat-mayat dari timbunan pecahan batu dan bumbung stadium tersebut . Syukur kehadrat Allah SWT sewaktu ianya runtuh dan roboh tiada nyawa yang terkorban .

Ada suara-suara di kalangan pimpinan UMNO yang meminta agar pembangkang tidak mempolitikkan tragedi ini . Ini bukan masa untuk bermain politik atau mempolitikkan isu . Ini adalah hak yang perlu diperjuangkan . Wang rakyat yang digunakan hampir RM300 juta untuk menyiapkan 'mercu tanda' ini . Sijil layak Menduduki ( CF ) yang dikeluarkan tanpa cukup syarat merupakan tindakan jenayah yang tidak boleh dimaafkan . Penyelewengan kuasa dan rasuah yang berlaku dalam pembinaan stadium yang berprestij ini .

Pemuda UMNO Terengganu harus keluar daripada 'cocoon' atau kepompong sindrom bisu ini . Bukan hanya diam membisu tanpa sebarang tindakan . Berani kerana benar . Ini melibatkan wang dan nyawa rakyat negeri Terengganu .

AMK Negeri Terengganu berlapang dada bermuafakat kerana Allah demi kecintaan kepada rakyat dan negeri Terengganu ini . Adakala kita perlu berbeza pandangan dan pendapat daripada segi edologi dan politik , tetapi adakala kita perlu seia sekata secara kolektif kerana negeri dan kepentingan rakyat . Menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran yang dituntut oleh Islam kepada kita .

Fariz Musa
Ketua AMK Negeri Terengganu

No comments:

Post a Comment