JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperuntukkan RM2.5 juta bagi menambah jumlah kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bandar raya ini sebagai usaha mengurangkan kadar jenayah.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Naim Nasir berkata, setakat ini sejumlah 16 CCTV telah dipasang dan ia berjaya memberi kesan yang baik."Kita merancang untuk menambah lagi 18 CCTV di sekitar bandar raya ini bagi membantu pihak berkuasa mengurangkan kadar jenayah.
"Segala perbelanjaan dan kos pemasangan kesemua CCTV itu akan dibiayai sepenuhnya oleh MBJB," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan MBJB, di sini hari ini.
Mohd. Naim berkata, pihaknya akan membuka tender pemasangan tersebut dalam tempoh terdekat kepada orang ramai. "Kita yakin dengan penambahan CCTV yang lebih banyak, kadar jenayah terutamanya di kawasan bandar raya mampu dikurangkan," katanya.
Beliau berkata, sebelum ini kerajaan Persekutuan pernah berjanji untuk memberikan sejumlah 32 CCTV untuk dipasang di sekitar bandar raya ini tetapi sehingga kini MBJB masih belum menerimanya.
"Selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, kami mahu masyarakat di sini hidup dalam keadaan yang lebih baik. "Justeru, kami akan menanggung segala kos pemasangan CCTV di daerah ini," katanya.
No comments:
Post a Comment